KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bakal mengumumkan tarikh-tarikh penting bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) esok.

Menjelang pengumuman tersebut, penganalisis politik, Prof Ahmad Martadha Mohamed menjangkakan tarikh paling ideal untuk dilaksanakan hari pengundian adalah pada 19 November ini.

Jangka masa tersebut, jelas Ketua Kluster, Tadbir Urus dan Integriti, Universiti Utara Malaysia (UUM) itu wajar kerana SPR perlu memberikan tempoh masa sekurang-kurangnya dua minggu untuk semua parti politik membuat persedian termasuk berkempen.

"Tarikh 19 November itu saya jangkakan satu tarikh yang paling sesuai kerana saya jangkakan penamaan calon akan berlaku pada awal November dan 14 hari itu diberikan untuk parti mengadakan kempen.

"Jadi sudah tentu tarikh yang saya lihat paling sesuai memandangkan pengumuman akan dibuat esok, dan tempoh-tempoh yang akan diberikan. Maka, 19 November itu bagi saya satu tarikh yang saya rasa ideal untuk SPR mengumumkan tarikh pilihan raya," katanya kepada Astro AWANI dalam segmen Menjelang Malaysia Memilih.

Mengulas lanjut, Ahmad Martadha berkata, faktor penentuan hari pengundian yang jatuh pada hujung minggu khususnya Sabtu penting dalam mempengaruhi peratusan keluar mengundi.

Bagaimanapun, beliau berpandangan, SPR perlu mengambil kira dua faktor penting iaitu kesiapsiagaan kerajaan dalam menghadapi musim tengkujuh dan persiapan parti-parti dalam mengatur gerak kerja menjelang PRU15.

"Bagi saya sudah tentu bulan 12 (Disember) bukan bulan yang sangat sesuai untuk diadakan pilihan raya umum kerana kita tahun bulan 12 adalah musim tengkujuh dan negeri Pantai Timur dan sebahagian negeri Pantai Barat (akan menghadapi banjir).

"Sudah tentu saya lihat walaupun pengumuman akan dibuat esok, dan pengumuman penamanaan dan hari pengundian juga akan ditentukan tetapi bagi saya SPR akan mengambil kira tempoh dekat (notis pembubaran) yang telah diberikan dan membuat pengumuman dan  pada masa yang sama memberi peluang dan ruang kepada parti politik untuk melaksanakan gerak kerja mereka," tambahnya lagi.

SPR akan mengadakan mesyuarat khas esok (20 Oktober) bagi membincangkan dan menentukan tarikh penting bagi PRU15.

#SUARAMALAYSIA: Jangkaan anda bilakah hari pengundian PRU15?

Mesyuarat khas itu juga akan membincangkan dan menentukan tarikh penting bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Bugaya, Sabah dan tiga negeri yang membubarkan DUN iaitu Pahang, Perlis dan Perak.